PUNCAK BUKIT KLEDANG IPOH

Sunday, 28 December 2008

Alhamdulillah petang ni akan berakhirlah tahun 1429H yang penuh dengan nostalgia pahit manis dalam kehidupan. Banyak benda baru yang wujud dalam diri ini dan tak kurang juga benda-benda pahit yang terpaksa ditelan. Walaubagaimanapun syukur ke hadrat Allah kerana dipanjangkan umur sehingga ke hari ini dan saya doakan semoga kehidupan kami sekeluarga akan aman damai dimurahkan lagi rezeki pada tahun 1430H. dah dua tiga hari tak update blog kerana terlalu sibuk dengan tugasan. Kepada semua rakan-rakan yang beragama Islam saya ucapkan SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 1430H. Didoakan anda semua berada dibawah lindungan Allah s.w.t
" HIJRAH MEMBINA MASA DEPAN UMMAH "
Alhamdulillah, kita telah memasuki tahun baru Hijrah 1430, dan pada masa yang sama menerima kedatangan tahun baru Masihi 2009. Bersempena dengan sambutan Ma'al Hijrah tahun ini, maka mimbar akan memperkatakan khutbah bertajuk: "HIJRAH MEMBINA MASA DEPAN UMMAH".

Ma'al Hijrah mengingatkan kita kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat Radhiallahu 'Anhum. Program hijrah adalah satu langkah Rasulullah SAW yang amat strategik dalam menegakkan dakwah Islamiah. Perlu kita ingat bahawa berjayanya hijrah menjadi jambatan tertegaknya daulah Islamiah kerana hijrah tersebut dipandu dan didukung oleh keimanan dan ketakwaan yang padu. Kejayaan hijrah ini juga telah mengubah lanskap akidah, ibadah, akhlak dan gaya hidup ummah ketika itu.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 100:

Maksudnya: "Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati dibumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur: dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."

Kejayaan Nabi SAW tiba di Madinah al-Munawwarah diteruskan pula dengan agenda membangun negara yang berteraskan petunjuk al-Quranul Karim. Dalam masa 10 tahun, Madinah telah berjaya mengalahkan kuasa besar Rom Timur dan Parsi. Pengajaran penting kepada kita daripada peristiwa hijratur Rasul ialah perlunya kita mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW yang menjadikan tuntutan iman dan takwa sebagai faktor pendorong kepada tugas berhijrah.

Justeru itu, kita perlu berusaha menyuburkan iman dan takwa agar ia menjadi panduan kepada kehidupan kita. Adalah satu hakikat bahawa pemantapan iman amat bergantung kepada pendidikan. Maka, Islam memberi penekanan terhadap pendidikan melalui penjelasan yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11:
Maksudnya: "Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan."

Pendidikan adalah matlamat utama melahirkan individu muslim yang berilmu dan membina masa depan ummah contoh. Peredaran zaman telah memberi kesan kepada perubahan gaya hidup manusia itu sendiri termasuklah cara bertindak dan berfikir. Bagi menjana ummah berkualiti, pendidikan yang bersepadu dan menyeluruh yang melibatkan farhu 'ain, fardhu kifayah dan teknologi maklumat perlu dititikberatkan.

Persoalan besar timbul ialah sejauh manakah penguasaan umat Islam dalam bidang ilmu pengetahuan di negara ini?. Berdasarkan pemerhatian dalam bidang-bidang tertentu seperti ilmu matematik, sains fizik, kimia, biologi, kejuruteraan, perubatan dan bidang-bidang sains yang lain, di dapati bahawa umat Islam ketinggalan jauh berbanding pencapaian kaum-kaum lain. Ini merupakan cabaran hebat kepada umat Islam di negara ini dalam usaha membina masa depan yang cemerlang.

Kita semua sedia maklum bahawa pendidikan yang berkesan tidak akan terlaksana jika ia tidak dijayakan secara bersungguh-sungguh serta mendapat kejasama dan sokongan dari semua pihak terutama institusi keluarga. Ibu bapa sebagai ketua keluarga seharusnya peka dan prihatin terhadap tanggungjawab yang perlu dilaksanakannya bersama. Ibu bapa perlu menyediakan prasarana yang baik di rumah bagi memastikan anak-anak dapat belajar dan mengulangkaji pelajaran mereka dengan selesa dan sempurna.

Proses pendidikan rasmi dibangku sekolah merupakan medan terbaik untuk membentuk generasi pelajar yang berilmu dan berakhlak mulia seterusnya membawa mereka kemercu kecemerlangan dan kegemilangan. Akan tetapi usaha ini tidak akan mencapai matlamat yang diharapkan, sekiranya ibu bapa menyerahkan tugas mendidik anak-anak ini kepada pihak sekolah secara mutlak. Sewajarnya tugas mendidik diteruskan oleh ibu bapa ketika anak-anak bersama mereka. Sebagai contoh, anak-anak telah diajar tentang cara bersolat dibangku sekolah tetapi perlaksanaannya perlu dipantau dan diteruskan di rumah. Andaikata berlaku pengabaian dalam aspek ini maka akan pincanglah proses pendidikan itu. Soalnya apakah kita sudah pun melaksanakan tanggungjawab ini dengan sempurna?.

Mimbar yang mulia ini menyeru semua pihak terutama ibubapa, marilah kita sama-sama bertindak secara proaktif memastikan masa depan generasi lebih cemerlang dengan usaha-usaha berikut:
Pertama:memperkasa sektor pendidikan yang menjadi teras membina masa depan keluarga, generasi dan negara;
Kedua:ibubapa perlu berusaha dan berkorban menyediakan peruntukkan yang sewajarnya untuk pendidikan;
Ketiga:ibubapa perlu membuat kajian dan analisis dari masa ke masa tentang kekuatan, kelemahan, cabaran dan ancaman yang dihadapi dalam membina pendidikan cemerlang; dan
Keempat: merancang dan menyediakan pelan tindakan supaya matlamat pendidikan anak-anak memenuhi keperluan dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar ayat 9:
Maksudnya: " Katakanlah: adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna."
(petikan daripada khutbah Jumaat)

Post a Comment

  © Blogger template The Business Templates by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP